Bila mula berbicara pasal politik ni, banyak yang beremosi, lebih-lebih lagi mahu menegakkan bahawa merekalah yang hanya berada di pihak kebenaran. Orang Melayu terutamanya yang paling beremosi jika berbicara pasal politik ini. Kerana apa? Kerana politiklah satu-satunya 'kuasa' yang ada pada Melayu itu sendiri sejak lepas diberikan kemerdekaan dari penjajah British.Ekonomi? paham-paham la kaum mana yang mendominasinya sekarang.Jika hilanglah kuasa politik Melayu di Malaysia, nescaya hilanglah Melayu itu di tanah sendiri sebagaimana hilangnya kaum peribumi Red Indian di Amerika Syarikat, kaum peribumi Australia di benua itu. Oleh itu apabila politik Melayu tergugat, yang kuat beremosinya, yang kuat melatahnya Melayu.. Takut hilang kuasa!!..

Politik keji mengeji sekarang ini takpelu diulas lagi. Di mana-mana pihak pun sama, tetapi yang membezakannya adalah kekerapan dan juga 'kekerasan' kejian yang dilontarkan. Maka apabila tuduh menuduh, keji mengeji berlaku, terjadilah fitnah dan apabila terjadinya fitnah berpecahlah pihak-pihak ini. Maka apabila sesetengah pihak mengatakan bahawa kamilah yang membawa 'Islam' yang benar, adakah ini kesan Islam terhadap politik kita?? Islam membawa perpecahan. Islam membawa persengketaan?? Islam membawa kehancuran?? Anda jawab sendiri. Saya tidak menyokong mana-mana pihak disini, bagi saya di mana ada kebenaran, di situ saya akan tegakkan. Itu prinsip saya. Jelas dan terang.

Berkaitan dengan Islam, ini adalah jalan kita sebagai muslim. Selalu saya ingatkan pada diri ini, jangan membawa masuk Islam dalam politik, tetapi Islamkan politik itu sendiri. Ini kerana Islam itu cara hidup kita. Maka yang menjadi panduan kita adalah Islam jangan politik itu yang menjadi jalannya. Politik Islam itu sendiri adalah dakwah. Jadi mereka yang ada nama Islam pada parti politik harus berusaha mendakwah mereka-mereka yang terpesong ini. Bukan harus terus menerus mengeji, menkafirkan menentu masuknya syurga kerana memangkah mereka. Michael Jackson @ Mikael (nama Islamnya) dibukakan hatinya/diberi hidayah oleh Allah setelah abangnya berdakwah kepadanya dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah dalam tempoh masa yang panjang, bukan seperti Ulama Agung Iran, Ayatollah Khomeini menggelar Jack sebagai syaitan setelah dakwahnya tidak diendahkannya. Nah.. Dakwah manakah yang dikatakan Sunnah Nabi? Anda fikirkanlah..

Saya amat kagum dengan rakan-rakan saya. Apa yang menyebabkan saya kagum dengan mereka? Kami mempunyai idealogi politik masing-masing. Ada ketikanya jika tersebut atau terbicara pasal politik ini, akan ada juga hujah-hujah politik yang kadang kala boleh dibidas, tetapi akhirnya tidaklah sampai bermasam muka. Akan ada pihak yang mengakuinya dan juga merendahkan diri untuk tidak berhujah lagi. Tidak berhujah bukan beerti kalah tetapi untuk mengelakan perselisihan faham anatara kami. Inilah nilai yang sangat-sangat saya kagumi. Ambillah, carilah contoh dari sesiapapun selagi tidak jelas bertentangan dengan prisnip Islam. Nah.. kawan-kawanku membuktikan persahabatan, mengelak perpecahan dan mengutamakan perpaduan itu penting. Jika kami dapat lakukan, mengapa mereka yang sudah hidup lama tidak boleh mengikutnya? fikirkanlah, dimanakah nilai-nilai Islam yang sebenar diterapkan?? Anda fikirkanlah..

Harap hentikanlah cacian, makian dan juga tomahan terhadap satu sama lain. Islam memupuk persaudaraan tidak kira terhadap sesama Islam mahupun bukan Islam. Maka kembalilah kepada sebenar-benar jalan.. Fikirkanlah


Sehari sebelum tahun baru aku selesai menukilkan satu blog.. dan sampai ke hari ini (23 June 2008)baru ku mula mahu menulis sesuatu...

Sejak aku berhenti menulis post yang terakhir aku pada tahun lepas, aku berkira-kira mahu menulis apa yang akan aku pelajari dari 'seseorang' yang akan aku dapat apabila aku menyertai satu kelas ilmu itu.. tetapi aku hampa kerana 'seseorang' itu pada awalnya aku berjumpa dengannya, dia seolah-olah mahu membuang aku dari kumpulan itu. Maka aku merasa keperluan untuk diri ini melangkah pergi, jika dia boleh merajuk membawa diri, apa salahnya aku pun melakukan sebegitu. Itu merupakan sebab mengapa aku berhenti seketika untuk menulis blog.

Sejak aku berhenti menulis itu, aku mencari-cari apakah bahan yang mahu ku tuliskan, setelah aku memerhati sekeliling, amat banyak sekali. Percayalah..Aku juga banyak membaca blog-blog lain, seperti blog-blog rakan-rakanku, dan tidak lupa juga blog-blog politik (Minatku banyak terarah kepada politik tetapi bukan kepada berpolitik)kerana aku juga manusia, dan manusia itu sentiasa melakukan kesalahan dan perlu sentiasa diperingatkan.

InsyaAllah, jika kelapangan aku akan teruskan menulis blog ini, jika tidak secara konsisten pun, harap tidak terhenti begitu sahaja..


Khusyuk dalam solat


Apakah erti khusyuk sebenarnya? Khusyuk pada asalnya bererti: Diam dan Merendah. Khusyuk boleh dilakukan dengan hati dan anggota badan. Khusyuk dengan hati maksudnya, menunduk dan merendahkkannya sambil memberi tumpuan penuh. Khusyuk dengan anggota pula maksudnya, menunjukkan sikap tunduk dan merendah diri. Kata lawan kepada khusyuk adalah sombong, angkuh dan tidak peduli. Oleh itu apabila seseorang itu bersolat, hendaklah dia khusyuk pada hatinya dengan merendahkan diri dan memberi tumpuan penuh kepada Allah S.W.T dan jangan pula mengamalkannya dengan sikap-sikap yang menampakkan kesombongan dan keangkuhan. Begitu juga dengan perkataan, tidak harus keluar dari mulutnya melainkan takbir dan perkataan yang memuji Allah.


Dari Abu Hurairah r.a katanya:

“Rasullulah s.a.w melarang solat dalam keadaan cekak pinggang”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Para Ulama telah meletakkan ini dalam bab khusyuk, kerana bercekak pinggang merupakan perbuatan syaitan yang menampakkan kesombongan dan keanguhan yang bertentangan dengan sifat khusyuk iaitu merendah diri.

Begitu juga hadis Jabir bin Samrah katanya telah bersabda Rasulullah s.a.w :

“Hendaklah berhenti kaum-kaum daripada mendongak ke langit semasa solat dan jangan mendekati mereka”

(Riwayat Muslim)


Mendongak ke langit juga merupakan perbuatan yang jelas dikatakan tidak khusyuk kerana zahirnya mendongak itu adalah meninggikan kepala dan tidak merendahkkannya. Riwayat-riwayat ini semua menjelaskan akan maksud khusyuk yang sebenarnya iaitu merendahkan hati, percakapan dan perbuatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa khusyuk merupakan antara faktor penting dalam solat. Tetapi apakah hakikat hukum khusyuk dalam solat?


Yang jelas, khusyuk bukan termasuk syarat-syarat solat dan bukan juga termasuk dalam rukun-rukun solat. Kerana kalaulah khusyuk merupakan antara syarat atau rukun solat, nescaya setiap kali seseorang hilang kekhusyukannya semasa solat maka batallah solat tersebut, kerana khusyuk merupakan suatu perkataan yang mudah disebut, mudah disuruh tetapi susah untu mencapainya.


Imam Sona`ni dalam kitabnya Subulussalam menukilkan:

“ Menurut majoriti ulama-ulama fiqah, khusyuk dalam solat hukumnya tidak wajib hanya Imam Ghazali mendatangkan perbahasan yang panjang lebar dalam kitabnya al-ihya dengan menyebutkan dalil-dalil mewajibkannya. Imam Nawawi telah mendakwa bahawa para ulama telah ijmak tentang tiodak wajibnya khusyuk dalam solat”

(Subulussalam Jil 1 bab Khusyuk)


Maka dengan segala fakta yang dibentangkan di atas, berpegang penetapan majoriti ulama fiqah adalah lebih baik. Walaupu khusyuk tidak diwajibkan bukan bererti kita boleh meremehkannya, Ia tetap menjadi satu tuntutan. Cuma dalam keadaan tertentu apabila hilang kekhusyukan atau kita terpaksa menghentikan seketika kekhusyukan kita untuk melakukan sesuatu, maka ketahuilah yang demikian itu tidak merosakkan solat kita.

Perbezaan Khusyuk dan Tomakninah.


Mungkin ramai yang kurang jelas maksud antara khusyuk dan tomakninah. Adapun tomakninah adalah ketenangan iaitu berdiam sejenak. Hukum khusyuk tidak wajib tidak seperti tomakninah pula hukumnya wajib. Ini berdasarkan hujah-hujah dan dalil-dalil berikut:


Diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Pencuri yang paling buruk adalah yang mencuri dalam solat.” Para sahabat bertanya : “Bagaimanakah seorang boleh mencuri dalam solatnya?” Sabda baginda s.a.w: “Itulah mereka yang tidak meneympurnakan rukuk dan sujudnya.”

(Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim)


Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki yang tidak sempurnakan rukuknya bila keadannya seperti burung mematuk dalam sujudnya ketika solat. Lalu baginda s.a.w bersabda :

“Sekiranya orang ini mati dalam keadaan sperti ini, nescaya dia mati bukan millah Muhammad, kerana dia solat seperti burung gagak mematuk darah. Perumpamaan orang yang tidak sempurnakan rukuknya dan mematuk dalam sujudnya seperti orang lapar yang memakan satu atau dua biji buah kurma yang tidak memberi manfaat apa-apa kepadanya”

(Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabrani)


Dari Abu Hurairah r.a katanya: seorang lelaki bernama Khallad bin Rafi` telah masuk ke dalam masjid lalu solat. Setelah selesai, ia datang kepada Rasulullah s.a.w dan memberi salam. Baginda menjawab lalu bersabda:

“Kembali dan solatlah, kerana sebenarnya engkau belum bersolat lagi”. Maka orang itu pun kembali dan hal itu dilakukan sampai tiga kali, sampai akhirnya dia bertanya: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat lakukan yang lebih baik daripada ini, oleh itu ajarkan aku” Maka baginda bersabda: “ Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan tomakninah, lalu bangkitlah hingga engkau berdiri tegak, lalu sujudlah dengan tomakninah, dan bangkitlah hingga engkau duduk dengan tomakninah pula, dan kemudian sujudlah lagi juga dengan tomakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu”

(Riwata al-Buhkari, Muslim, dan Ahmad)


Daripada semua riwayat-riwayat di atas, dapatlah difahamkan bahawa tidak seperti khusyuk, tomakninah adalah wajib di dalam solat hinggakan mereka yang tidak melakukan tomakninah dalam solat, maka dicemuh bahkan diarah diulang kembali. Inilah yang selalunya berlaku apabila perbuatan wajib di dalam solat tidak dilakukan. Adapun mereka yang tidak khusyuk dalam solat tidak dicemuh dan tidak pula diarahkan agar mengulangi solatnya. Suka diingatkan dan diingatkan lagi bahawa walaupun khusyuk bukan suatu faktor yang wajib, itu tidak bererti bahawa kita tidak perlu berusaha untuk khusyuk dalam solat.


Daripada Aisyah r.ha. katanya:

“Rasulullah s.a.w solat dengan mengenakan pakaian daripada bulu yang bergambar, kemudian sabdanya: “Gambar-gambar pakaian ini menggangu perhatianku, kembalikanlah kepada Abu Jaham dan tukarlah dengan pakaian bulu kasar yang tidak bergambar.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Daripada ANas katanya:

“Aisyah r.ha. mempunyai tabir tipis yang dipasang di pintu rumahya maka Nabi s.a.w bersabda: “ Turunkanlah tabirmu itu, kerana gambar-gambarnya menganggu aku dalam solat.”

(Riwayat Bukhari)

Dikatakan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar r.hm pernah diuji oleh Rasulullah s.a.w Baginda berjanji akan memberi mereka hadiah. Kedua-dua sahabat besar ini, cuba untuk tidak mahu memikirkan janji baginda semasa mereka solat tetapi gagal. Kalaulah khusyuk menjadi sebab pembatalan dan kerosakan solat, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan perintahkan agar kedua-dua sahabat itu, mengulangi solat mereka kerana teringat janji-janji baginda s.a.w.


Kesimpulannya, khusyuk dalam solat memang merupakan perkara yang penting. Apa saja yang boleh menggangu khusyuk harus dijauhkan. Tetapi apabila dalam keadaan tertentu, seseorang yang sedang solat terganggu khusyuknya kerana perlu melakukan sesuatu yang penting, maka beliau boleh berbuat demikian dan solatnya tidak akan ditolak.



(Perbezaan Khusyuk dan Tomakninah, Bab3, Khusyuk dalam solat, dipetik dari buku Pelik tapi Benar dalam solat, Ustaz Abdul Rahman Mohamed,Telaga Biru Sdn. Bhd)


Ceritera ini ....

Berani kerana Benar, Takut kerana Salah...

Dan telanlah KEBENARAN itu walaupun ianya sangat pahit..

Tanda-tanda kebenaran itu akan selalu dilihat dan mudah untuk dikenali bagi mereka-mereka yang fasih dan bijak mengamatinya

I follow~