Khusyuk dalam solat


Apakah erti khusyuk sebenarnya? Khusyuk pada asalnya bererti: Diam dan Merendah. Khusyuk boleh dilakukan dengan hati dan anggota badan. Khusyuk dengan hati maksudnya, menunduk dan merendahkkannya sambil memberi tumpuan penuh. Khusyuk dengan anggota pula maksudnya, menunjukkan sikap tunduk dan merendah diri. Kata lawan kepada khusyuk adalah sombong, angkuh dan tidak peduli. Oleh itu apabila seseorang itu bersolat, hendaklah dia khusyuk pada hatinya dengan merendahkan diri dan memberi tumpuan penuh kepada Allah S.W.T dan jangan pula mengamalkannya dengan sikap-sikap yang menampakkan kesombongan dan keangkuhan. Begitu juga dengan perkataan, tidak harus keluar dari mulutnya melainkan takbir dan perkataan yang memuji Allah.


Dari Abu Hurairah r.a katanya:

“Rasullulah s.a.w melarang solat dalam keadaan cekak pinggang”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Para Ulama telah meletakkan ini dalam bab khusyuk, kerana bercekak pinggang merupakan perbuatan syaitan yang menampakkan kesombongan dan keanguhan yang bertentangan dengan sifat khusyuk iaitu merendah diri.

Begitu juga hadis Jabir bin Samrah katanya telah bersabda Rasulullah s.a.w :

“Hendaklah berhenti kaum-kaum daripada mendongak ke langit semasa solat dan jangan mendekati mereka”

(Riwayat Muslim)


Mendongak ke langit juga merupakan perbuatan yang jelas dikatakan tidak khusyuk kerana zahirnya mendongak itu adalah meninggikan kepala dan tidak merendahkkannya. Riwayat-riwayat ini semua menjelaskan akan maksud khusyuk yang sebenarnya iaitu merendahkan hati, percakapan dan perbuatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa khusyuk merupakan antara faktor penting dalam solat. Tetapi apakah hakikat hukum khusyuk dalam solat?


Yang jelas, khusyuk bukan termasuk syarat-syarat solat dan bukan juga termasuk dalam rukun-rukun solat. Kerana kalaulah khusyuk merupakan antara syarat atau rukun solat, nescaya setiap kali seseorang hilang kekhusyukannya semasa solat maka batallah solat tersebut, kerana khusyuk merupakan suatu perkataan yang mudah disebut, mudah disuruh tetapi susah untu mencapainya.


Imam Sona`ni dalam kitabnya Subulussalam menukilkan:

“ Menurut majoriti ulama-ulama fiqah, khusyuk dalam solat hukumnya tidak wajib hanya Imam Ghazali mendatangkan perbahasan yang panjang lebar dalam kitabnya al-ihya dengan menyebutkan dalil-dalil mewajibkannya. Imam Nawawi telah mendakwa bahawa para ulama telah ijmak tentang tiodak wajibnya khusyuk dalam solat”

(Subulussalam Jil 1 bab Khusyuk)


Maka dengan segala fakta yang dibentangkan di atas, berpegang penetapan majoriti ulama fiqah adalah lebih baik. Walaupu khusyuk tidak diwajibkan bukan bererti kita boleh meremehkannya, Ia tetap menjadi satu tuntutan. Cuma dalam keadaan tertentu apabila hilang kekhusyukan atau kita terpaksa menghentikan seketika kekhusyukan kita untuk melakukan sesuatu, maka ketahuilah yang demikian itu tidak merosakkan solat kita.

Perbezaan Khusyuk dan Tomakninah.


Mungkin ramai yang kurang jelas maksud antara khusyuk dan tomakninah. Adapun tomakninah adalah ketenangan iaitu berdiam sejenak. Hukum khusyuk tidak wajib tidak seperti tomakninah pula hukumnya wajib. Ini berdasarkan hujah-hujah dan dalil-dalil berikut:


Diriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Pencuri yang paling buruk adalah yang mencuri dalam solat.” Para sahabat bertanya : “Bagaimanakah seorang boleh mencuri dalam solatnya?” Sabda baginda s.a.w: “Itulah mereka yang tidak meneympurnakan rukuk dan sujudnya.”

(Riwayat al-Tabrani dan al-Hakim)


Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w ternampak seorang lelaki yang tidak sempurnakan rukuknya bila keadannya seperti burung mematuk dalam sujudnya ketika solat. Lalu baginda s.a.w bersabda :

“Sekiranya orang ini mati dalam keadaan sperti ini, nescaya dia mati bukan millah Muhammad, kerana dia solat seperti burung gagak mematuk darah. Perumpamaan orang yang tidak sempurnakan rukuknya dan mematuk dalam sujudnya seperti orang lapar yang memakan satu atau dua biji buah kurma yang tidak memberi manfaat apa-apa kepadanya”

(Riwayat al-Baihaqi dan al-Tabrani)


Dari Abu Hurairah r.a katanya: seorang lelaki bernama Khallad bin Rafi` telah masuk ke dalam masjid lalu solat. Setelah selesai, ia datang kepada Rasulullah s.a.w dan memberi salam. Baginda menjawab lalu bersabda:

“Kembali dan solatlah, kerana sebenarnya engkau belum bersolat lagi”. Maka orang itu pun kembali dan hal itu dilakukan sampai tiga kali, sampai akhirnya dia bertanya: “Demi Tuhan yang mengutuskanmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat lakukan yang lebih baik daripada ini, oleh itu ajarkan aku” Maka baginda bersabda: “ Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan tomakninah, lalu bangkitlah hingga engkau berdiri tegak, lalu sujudlah dengan tomakninah, dan bangkitlah hingga engkau duduk dengan tomakninah pula, dan kemudian sujudlah lagi juga dengan tomakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu”

(Riwata al-Buhkari, Muslim, dan Ahmad)


Daripada semua riwayat-riwayat di atas, dapatlah difahamkan bahawa tidak seperti khusyuk, tomakninah adalah wajib di dalam solat hinggakan mereka yang tidak melakukan tomakninah dalam solat, maka dicemuh bahkan diarah diulang kembali. Inilah yang selalunya berlaku apabila perbuatan wajib di dalam solat tidak dilakukan. Adapun mereka yang tidak khusyuk dalam solat tidak dicemuh dan tidak pula diarahkan agar mengulangi solatnya. Suka diingatkan dan diingatkan lagi bahawa walaupun khusyuk bukan suatu faktor yang wajib, itu tidak bererti bahawa kita tidak perlu berusaha untuk khusyuk dalam solat.


Daripada Aisyah r.ha. katanya:

“Rasulullah s.a.w solat dengan mengenakan pakaian daripada bulu yang bergambar, kemudian sabdanya: “Gambar-gambar pakaian ini menggangu perhatianku, kembalikanlah kepada Abu Jaham dan tukarlah dengan pakaian bulu kasar yang tidak bergambar.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Daripada ANas katanya:

“Aisyah r.ha. mempunyai tabir tipis yang dipasang di pintu rumahya maka Nabi s.a.w bersabda: “ Turunkanlah tabirmu itu, kerana gambar-gambarnya menganggu aku dalam solat.”

(Riwayat Bukhari)

Dikatakan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar r.hm pernah diuji oleh Rasulullah s.a.w Baginda berjanji akan memberi mereka hadiah. Kedua-dua sahabat besar ini, cuba untuk tidak mahu memikirkan janji baginda semasa mereka solat tetapi gagal. Kalaulah khusyuk menjadi sebab pembatalan dan kerosakan solat, sudah tentu Rasulullah s.a.w akan perintahkan agar kedua-dua sahabat itu, mengulangi solat mereka kerana teringat janji-janji baginda s.a.w.


Kesimpulannya, khusyuk dalam solat memang merupakan perkara yang penting. Apa saja yang boleh menggangu khusyuk harus dijauhkan. Tetapi apabila dalam keadaan tertentu, seseorang yang sedang solat terganggu khusyuknya kerana perlu melakukan sesuatu yang penting, maka beliau boleh berbuat demikian dan solatnya tidak akan ditolak.



(Perbezaan Khusyuk dan Tomakninah, Bab3, Khusyuk dalam solat, dipetik dari buku Pelik tapi Benar dalam solat, Ustaz Abdul Rahman Mohamed,Telaga Biru Sdn. Bhd)

0 comments:

Post a Comment


Ceritera ini ....

Berani kerana Benar, Takut kerana Salah...

Dan telanlah KEBENARAN itu walaupun ianya sangat pahit..

Tanda-tanda kebenaran itu akan selalu dilihat dan mudah untuk dikenali bagi mereka-mereka yang fasih dan bijak mengamatinya

I follow~